Dec 12, 2024 - FASSelangor FC akan bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) FC bagi perlawanan Suku Akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/25 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada jam 9 malam ini.
MFL Challenge Cup 2024/25 bagi pusingan Suku Akhir, Separuh Akhir dan Perlawanan Akhir musim ini akan dimainkan secara timbal balik. Selangor FC dijadualkan bertemu KDN FC bagi pusingan Suku Akhir, 12 Disember, hari ini bagi perlawanan Away dan 22 Disember untuk perlawanan Home.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi yakin pemain yang ada bakal jadi tonggak pasukan seterusnya.
"Kita tidak boleh mengeluh penat biarpun perlawanan selang dua ke tiga hari. Saya sempat ingatkan pemain bahawa jika mereka mahu menjadi pemain yang hebat dan seorang rakan sepasukan yang baik, mereka perlu bermain lebih banyak perlawanan dan hadapinya dengan kekuatan. Walaupun pemain yang menyertai pasukan kebangsaan mungkin tidak dapat ikuti latihan, saya percaya Selangor mempunyai ramai pemain berbakat yang mampu menjadi pemain utama seterusnya dalam pasukan. Saya harapkan lebih daripada mereka hari ini, dan saya juga harap mereka dapat sahut cabaran ini," Kinoshi berharap.
Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL), Ruventhiran mengalami kecederaan tisu di kakinya, manakala Nikola Jambor pula sedang menjalani sesi pemulihan untuk kecederaan hamstring. Selain itu, Khuzaimi Piee, Kalamullah Al-Hafiz dan Harith Haiqal kini berada di kem Harimau Malaya bagi menghadapi Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024. Selain daripada mereka, pemain-pemain lain sedia untuk diturunkan untuk perlawanan malam ini.
Pihak pengurusan Selangor FC sentiasa berada di belakang pasukan bagi menghadapi perlawanan ini. Kekalkan momentum, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!